KOTA BHARU - Ketua Lajnah Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan menegur tindakan segelintir ahli Pas yang masih lagi tidak menyokong penerbitan lidah rasmi mereka, akhbar Harakah.

Menurutnya, Harakah merupakan salah satu medium yang membantu memberi penerangan mengenai pelbagai skop terutamanya untuk menghakis segala cabaran dan serangan negatif mereka yang cemburukan parti Islam itu.

"Saya tidak tahu sejauh mana perwakilan semua tahu betapa pentingnya lidah rasmi ini kepada kita. Ahli kita hampir sejuta, dan kita meletakkan sasaran 60,000 naskah untuk setiap kali keluaran, walaupun jumlah tersebut terlalu kecil dengan jumlah keahlian kita.

"Kita amat kesal kalau ada perwakilan yang tidak baca harakah. Apapun, mana-mana yang masih belum pernah menyokong Harakah sebelum ini, sila tunjukkan komitmen anda kerana kita bukan jual secara luaran, maka tunjukkan usaha anda untuk langgan dan sebagainya," katanya semasa ucapan penggulungan Muktamar Pas ke-62 di sini.

Dalam masa yang sama, Nasrudin memberitahu, penerapan politik matang dan sederhana  sebenarnya banyak membantu semua ahli kembali kepada jalan perjuangan parti dan Islam yang sebenarnya.

Walaupun ada yang 'sinis' mengatakan selepas gagasan politik tersebut diterapkan, mereka tidak boleh menyampaikan ceramah 'menghentam' Umno, beliau berkata, mereka sepatutnya lebih mengutamakan penerangan untuk menterjemahkan perjuangan Islam yang dibawa Pas.

"Bukan tidak boleh hentam Umno, tetapi perlukan berfakta dan sebagainya. Jangan hanya beremosi semata-mata. Saya ingat lagi ceramah yang disampaikan Ketua DHPP, N. Bala Subramaniam, beliau tidak terlalu hentam Umno sebab sudah awal kita memang tahu Umno adalah musuh kita.

"Tetapi beliau menekan tentang perlunya kita kekal dengan perjuangan kita. Berganding bahu untuk memberi penerangan mengenai perjuangan kita, sebelum menghentam orang lain. Itu lebih penting untuk istiqamah dalam perjuangan dan menarik lebih ramai pengikut perjuangan," katanya.

Sumber